Saturday, 12 April 2014

Isu Pertama lagi : Revolution Stage



Selain memberi highlight terhadap industri filem tempatan, Gelanggang Filem juga tidak melupakan dunia teater. Ini adalah bukti bahawa Gelanggang filem adalah zine yang terbuka dan hebat,hahaha (tahniah editor zine puji diri sendiri-Pembaca ) . Ikuti interview dibawa.

Sejak bila R.S ditubuhkan? Apakah tujuan penubuhan R.S?
REVOLUTION STAGE (RS) merupakan sebuah syarikat yang ditubuhkan pada tahun 2006 oleh Khairunazwan Rodzy diawalnya, namun kini ianya didaftarkan semula bersama graduan-graduan seni persembahan gabungan dari beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) antaranya Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Mara (UITM) & Kuala Lumpur Metropolitan University College (KLMUC) pada Disember 2010. Atas kesedaran dan kecintaan terhadap seni budaya dan warisan negara, maka Revolution Stage dijadikan platform dan medan anak-anak muda melahirkan karya-karya bermutu, bukan sahaja untuk kelompok penikmat seni malah kepada khalayak umum.

Secara tidak langsung, graduan-graduan yang menerajui RS telah melibatkan diri ke peringkat yang lebih profesional. Selain itu, RS juga turut bersama memeriahkan lagi industri seni tanah air dalam bidang kesenian. Dengan pengalaman selama menuntut di IPT masing-masing dan pengalaman yang dikutip daripada produksi-produksi luar, pengurusan syarikat ini mampu diuruskan dengan lebih sistematik dan terkawal.

Penggerak RS terdiri daripada anak-anak muda yang mempunyai fokus serta matlamat bagi membawa pemikiran baru melalui gaya pengurusan seni yang lebih efektif dan dinamik untuk terus berjaya dalam industri kesenian. Khalayak dapat menikmati hasil sentuhan kreatif yang mempunyai dimensi baru dan segar. Bersesuaian dengan nama ‘revolution’ yang membawa maksud perubahan, membuktikan peneraju syarikat RS ingin membawa perubahan kepada situasi kesenian tempatan dari takok lama ke era baru yang lebih mencabar.

Oleh kerana sebuah impian dan perjuangan para graduan seni persembahan serta peminat-peminat kesenian yang ingin terus berkarya dan berkongsi, maka ianya juga menjadi tujuan serta amanah yang tertanggung atas penubuhan RS. RS akan terus memberikan ruang dan peluang kepada graduan serta penggiat- penggiat kesenian muda bagi meneruskan impian dan perjuangan bersama. Insyaallah. Mudah- mudahn Allah setuju. Alhamdulillah.

Siapakah tulang belakang R.S?
Orang-orang kuat REVOLUTION STAGE (RS) terdiri daripada graduan-graduan ipt tempatan dari pelbagai bidang dan pengkhususan, yang mana sangat meminati bidang kesenian. Mereka adalah Khairunazwan Rodzy sebagai Pengarah Artistik dan Pengarah Kewangan, Sherry Abdullah sebagai Pengarah Sumber Manusia dan Pengurus Projek, Adam Arshad dan Nik Afiq sebagai Pengarah Pentadbiran dan Pemasaran dan Omar Yunus sebagai Pengarah Operasi.

Kelima-lima anak muda ini adalah tulang belakang RS bagi menggerakkan semua projek RS dengan jayanya. Mereka ini digelar sebagai Team RS – Team Management. Sementara itu Geng Kental RS terdiri daripada Kirin Muhammad, Mustaqim Tony, Ghadafi Meliki, Kezor Nordin, Pok Cek, Marcel, Aiman, Chriss Daniel, Azrul Azizi, Siti Fatimah dan Topex Ofiq.  Mereka semua adalah di bawah Bahagian Kreatif dan Teknikal. Selain daripada itu, 'Geng RS' yang turut menjadi tulang belakang yang sangat kuat kepada gerakkan RS adalah seluruh graduan seni persembahan, penggiat-penggiat seni persembahan dan peminat-peminat seni persembahan yang sentiasa mahu bekerjasama dengan RS bagi menghasilkan karya serta memperjuangkan seni dan kesenian ke arah CINTA, Kaseh dan Sayang. Insyaallah. Mudah-mudahan Allah setuju. Alhamdulillah.

3) R.S hanya buat teater je ke?takde buat filem ke?
RS sebuah Syarikat yang menjalankan perniagaan dan menawarkan perkhidmatan yang berkaitan dengan semua cabang kesenian. RS bukan sahaja fokus kepada seni teater, malah RS sedang berurusan mengenai penerbitan buku, pembikinan filem, penerbitan muzik dan lagu, seni tari dan pembukaan kelas kesenian.
Untuk pengetahuan umum, RS bakal membuat tayangan Filem sulung RS ‘AkuFotoKau’ yang diarahkan oleh Khairunazwan Rodzy dan Cech Adrea(penulis skrip) pada tahun ini 2013. Malah RS juga bakal melancarkan sebuah Novel dan buku skrip tidak lama lagi.

Filem kedua RS yang bertajuk ‘FilemTeater’ bakal menjalani penggambaran pada bulan Jun 2013 nanti. Ianya mengenai susah payah aktivis dan graduan teater menghasilkan teater-teater alternative yang mendapat saingan hebat oleh teater aliran perdana dan komersial.
Insyaallah. Mudah-mudahan Allah setuju. Alhamdulillah.
Ada anjur bengkel lakonan tak?kalau ada gitau.
RS pernah mengadakan bengkel asas lakon, ‘FirstTimeWorkshop’, kepada peminat teater yang zero dan first time, ianya telah menghasilkan persembahan Teater Tepuk Amai-Amai pada Mac 2012.

Pada pertengahan tahun 2013 ini, RS akan mengadakan bengkel lakonan yang mana tenaga pengajarnya adalah daripada orang kuat serta founder RS sendiri, Khairunazwan Rodzy. Bengkel ini dicadangkan akan berjalan selama dua bulan bermula bulan Julai dan Ogos 2013, kerana kedua-dua bulan ini adalah tarikh cuti bagi ipt-ipt tempatan seluruh Malaysia. Fokus RS lebih kepada para pelajar ipt serta graduan yang masih menganggur serta peminat-peminat seni teater bagi menyertai program bengkel RS ini. Bengkel Lakonan yang dinamakan ‘AdaBrandWorkshop’ ini akan mengenakan yuran kepada setiap peserta berjumlah RM80 sebulan.

Keistimewaan ‘AdaBrandWorkshop’ ini adalah dengan penglibatan sahabat artis RS diantaranya Sharifah Amani, Sherry Abdullah, Dira Abu Zahar dan Nadiyatul Nissa sebagai mentor kepada para peserta dan akan berlakon bersama peserta dalam teater khas yang bakal diadakan pada bulan September 2013 sebagai menguji lakonan peserta setelah menimba ilmu dalam ‘AdaBrandWorkshop’ oleh RS. RS merasakan bahawa setiap peserta haruslah diuji dengan persembahan sebenar bersama rakan lakon yang sebenar juga bagi merasakan debaran yang sebenar.

Pembukaan pendaftaran bermula pada projek teater pertama RS bulan Febuari 2013 ini, #BANGKIT ke-5 Teater SeNaPas di Stor Teater DBP pada 8-10hb Febuari 2013. Para pelajar, graduan dan peminat teater bolehlah mendaftar di tempat persembahan kami atau hubungi A.A(Arshad Adam) - 017 982 3272, N.A(Nik Afiq) - 010 760 3101.
Insyaallah. Mudah-mudahan Allah setuju. Alhamduillah

Bagaimana nak join RS bagi yang berminat?
Revolution Stage bukan sahaja memfokuskan kepada bahagian kreatif sesuatu persembahan sahaja, malah kami juga memberi dan membuka peluang kepada sesiapa yang mahu berkongsi ilmu tentang pengurusan dan ‘management’. Oleh itu, kami mengalu-alukan sesiapa yang mahu menjalankan praktikal bersama kami, bolehlah menghantarkan email ke stagerevolution@gmail.com

Selain itu, untuk para penggiat-pengiat teater yang berminat mahu menyertai RS, kami mulakan dengan bengkel teater diatas. Bengkel teater ini akan menjadi titik tolak kepada peserta untuk melangkah lebih jauh bersama Revolution Stage dalam industri teater alternatif tempatan. Untuk pengetahuan juga, RS juga selalu mengalu-alukan dan menggalakkan kolaborasi bersama produksi-produksi lain serta badan-badan persendirian yang mahu dan berminat untuk menyertai dan bekerja bersama RS. Contohnya, kolaborasi bersama Seni Suri Jawi iaitu pementasan Le Jeu La Julia dalam projek ‘Bangkit’ baru-baru ini.

Apa pendapat kamu tentang teater tempatan dulu dan sekarang?
Industri teater tempatan telah bergerak maju seiring dengan pembangunan industri seni dan kreatif yg lain seperti industri perfileman contohnya. Jika dilihat, industri teater dahulu sangat gah dan boleh dikatakan eksklusif kerana para penggiat teater tempatan dahulu berkarya untuk sesebuah karya yang mahu dikongsi bersama penggemar2 teater tempatan. Tetapi, industri teater seakan mengalami zaman kejatuhan apabila terpaksa bersaing dengan hiburan-hiburan yang ‘accesible’ seperti filem, TV, VCD dan DVD dll. Walaubagaimanapun, teater tempatan kini kembali rancak dan dikenali dengan kehadiran produksi2 kecil yang aktif bergiat. Ini merupakan satu ‘turning point’ dimana masyarakat umum kembali cenderung kearah teater, tidak kira teater aliran perdana atau teater2 kecil lain. Namun usaha keras perlu diambil bagi meng‘industri’kan teater tempatan.

Bagaimana nak hubungi R.S?
RS boleh dihubungi melalui email stagerevolution@gmail.com atau boleh saja melawati Facebook Page Revolution Stage. Juga akaun twitter kami ; Revolution Stage.

Apakah projek terbaru R.S?
RS akan memulakan 2013 dengan pementasan kelima dalam projek “Bangkit” iaitu SeNaPas yang akan memulakan pementasan pada 8, 9 dan 10 Februari di Stor DBP. Selepas itu, kami akan memulakan projek ‘Pentas Balik’ iaitu projek mementaskan semula pementasan dalam “Bangkit” bagi yang tidak dapat menonton pada tahun lepas. Projek Pentas Balik akan bermula dengan Tepuk Amai- Amai pada Mac dan dikuti seterusnya dengan pementasan2 “Bangkit” yg lain sehingga Disember 2013. Pada bulan Jun, insyaAllah kami akan memulakan penggambaran filem kedua iaitu ‘FilemTeater’. Seterusnya, pada bulan Julai dan Ogos akan berlangsung bengkel ‘AdaBrandWorkshop’ yang akan menyaksikan penglibatan rakan artis RS seperti Sharifah Amani, Dira Abu Zahar, Nadiyatul Nissa dan Sherry Al-Hadad. Pada tahun 2013 juga akan menyaksikan satu projek musikal teater berskala besar dari Revolution Stage. Nantikan info terkini dari kami.

Harapan korang ?
Harapan RS, dengan usahasama para pelajar, graduan, penggiat seni dan peminat-peminat kesenian ini dapat memperkongsikan karya-karya bermutu serta meneruskan perjuangan kesenian ini hingga bertemu sebuah kejayaan dan bermanfaat secara menyeluruh. Bagi menyambut dan mengangkat usahasama ini, RS berharap dapat mewujudkan satu ruang panggung dan studio bagi semua khalayak berkumpul dan bersama menikmati keindahan seni serta memperlembutkan diri yang semakin menjadi robot itu dengan sentuhan-sentuhan seni dan kesenian. Amin Ya Robbal Alamin. Insyaallah. Mudah-mudahan Allah setuju. Alhamduillah.


Juga pada 26 april ini di Rumah Titi majlis puisi anjuran bersama Frinjan. Datang tau






No comments:

Post a Comment